KUALA LUMPUR: Pemindahan milik bangunan hotel-hotel kepada syarikat lain sepatutnya bukan alasan untuk menutup hotel.

Ini kerana, perubahan yang berlaku dalam pengurusan hotel dan pemilik bangunan hotel itu bukan luar biasa, kata Datuk Seri Najib Razak.

Melainkan syarikat milik Kementerian Kewangan yang mengalih alih empat hotel milik TH Hotel & Residence Sdn. Bhd. (THHR) iaitu Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) sudah ada rancangan untuk menjual bangunan-bangunan tersebut kepada pihak lain yang mungkin akan memulakan operasi hotel mereka sendiri.

“Ladang milik TH, mereka jual.

“Hotel milik TH yang untung, mereka tutup dan jual bangunannya,” tambah bekas Perdana Menteri itu.

Beliau mengulas mengenai penutupan empat hotel milik THHR susulan penamatan operasi dan perkhidmatannya mulai 1 April ini.

Menurut notis bertarikh 17 Februari yang ditandatangani oleh Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zulkefli Ahmad, penutupan operasi hotel yang terletak di Kota Kinabalu, Kuala Terengganu, Pulau Pinang dan Alor Setar itu adalah disebabkan pengambilan alih hartanah tersebut oleh Urusharta Jamaah Sdn. Bhd.

Penutupan operasi tersebut juga melibatkan pemberhentian kakitangan yang berlebihan dan akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.