SIBU: Adun Bukit Assek Irene Chang mencadangkan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) membuat pemeriksaan ada pengendali makanan di sini perlu menggunakan topeng mulut dan hidung semasa beroperasi.

Jelasnya, ini penting bagi menjamin tahap kebersihan dan keselamatan makanan dijual kepada orang ramai dalam mencegah wabak Covid-19.

“Saya mengesyorkan agar MPS membuat kajian sama ada terdapat keperluan disyaratkan kepada pengendalikan makanan di sini. “Selain itu, MPS juga perlu untuk membuat pemeriksaan ke atas premis makanan di sini pada setiap masa bagi memastikan pencegahan wabak ini diperketatkan,” katanya.

Adun Bukit Assek Irene Chang

Beliau berucap ketika merasmikan Ceramah Covid-19 anjuran bersama KRT Taman Seduan, Gereja Methodist Hwai Ang dan JKKK Sibu di sini, malam tadi (Sabtu).

Hadir sama ialah Pengerusi MPS Clarence Ting, Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun, Pegawai Perpaduan Bahagian Sibu Siti Nurfatimah Hussen, Penasihat KRT Taman Seduan Mejar (K) Datuk David Ling, Pengerusi KRT Taman Seduan Yong Ing Kai serta yang lain.

Chang juga memberitahu agar MPS harus memastikan pengendali makanan supaya menyediakan sabun mencuci tangan disediakan di dalam tandas. Beliau turut memuji usaha Kerajaan Sarawak yang komited membasmi wabak tersebut dengan memperketatkan kawalan masuk ke negeri ini.

“Kerajaan Sarawak turut melaksanakan bahagian mereka untuk bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan mencegah wabak ini.

“Borang perisytiharan kesihatan di semua pintu masuk ke dalam Sarawak adalah sangat penting di mana semua perlu bekerjasama. “Jika tidak berbuat demikian, kita agak sukar mengesan virus ini masuk melalui pesakitnya ke sini. “Oleh itu langkah Kerajaan Sarawak itu amat tepat,” tambahnya.

Beliau turut menasihatkan kepada orang ramai yang mengalami demam dan batuk supaya segera ke klinik untuk pemeriksaan. Ting memberi jaminan bahawa MPS akan bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu untuk membendung wabak itu.