KUCHING: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menubuhkan lima pasukan petugas untuk persiapan Pilihan Raya Negeri Ke-12 akan datang.

Ketua Wanita PBB Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, satu daripadanya ialah pasukan keahlian dan pengundi baharu untuk meningkatkan jumlah keahlian PBB Sarawak serta pengundi.

“Setakat Februari 2020, jumlah keseluruhan ahli PBB adalah seramai 337,356 dan daripada jumlah tersebut sebanyak 162,110 orang ahli wanita.

“Jumlah ini tidak termasuk yang telah meninggal dunia,” katanya pada pelancaran Program Sarawak Kita Empun yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di ibu pejabat PBB, Jalan Bako semalam.

Selain itu, kata Fatimah yang juga Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak ialah program turun padang untuk menyampaikan bantuan kebajikan dan perkhidmatan kepada masyarakat di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri melalui Skuad Kasih Sayang.

Beliau menambah, pasukan jerayawara turut ditubuhkan bagi memberi penerangan yang berkaitan dengan perkara yang perlu dijelaskan kepada orang ramai seperti Ordinan Perlombongan Minyak 1958, Perjanjian Malaysia 1963 dan Pindaan Kanun Tanah.

Turut ditubuhkan pasukan petugas platform digital, yang memfokus kepada pengendalian media khususnya media sosial termasuk memberi penerangan di kawasan yang tidak mempunyai akses internet.

Fatimah berkata, platform mendekati golongan muda juga dibuat untuk membolehkan mereka meluahkan suara hati dan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan.

Sementara mengenai Program Sarawak Kita Empun yang dianjurkan Majlis Tertinggi Wanita PBB, Fatimah berkata ia bertujuan memberi penerangan yang jelas mengenai hala tuju dan usaha terkini khususnya daripada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam usaha melindungi dan mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis.

“Selain memberi gambaran sebenar mengenai kerajaan Sarawak yang diterajui GPS, program ini diharap dapat menjadi perangsang kepada rakyat Sarawak khususnya dalam kalangan wanita untuk terus memberi mandat dan kepercayaan kepada GPS,” katanya.

Program Sarawak Kita Empun akan dijalankan di seluruh Sarawak, di mana bergerak dari satu cawangan PBB ke cawangan PBB yang lain bagi menghimpunkan wanita-wanita dalam kawasan khasnya pimpinan wanita PBB di peringkat akar umbi.

Ia juga akan diisi dengan sesi-sesi perkongsian strategik daripada tokoh-tokoh berkaitan yang akan mengupas beberapa perkara yang menjadi perhatian rakyat Sarawak masa ini seperti MA63, usaha kerajaan Sarawak dalam mempertahankan tanah NCR, projek rakyat dan lain-lain lagi.

Sesi soal jawab seperti dialog awam bagi membolehkan komunikasi dua hala bersama-sama wakil rakyat tempatan juga turut diadakan bagi mendapatkan perkembangan terkini secara lebih terperinci terutamanya di peringkat akar umbi.