MIRI: Tiga lelaki tempatan ditahan polis semalam selepas disyaki terlibat dalam kes samun di Taman Ceria, Permyjaya, Lutong di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi itu, mangsa yang sedang menunggang motosikal tiba-tiba disekat oleh dua buah motosikal di persimpangan jalan di Taman Ceria.

Menurut sumber, setelah diberhentikan, mangsa kemudian dipukul oleh kumpulan motosikal tersebut sebelum bertindak merampas telefon bimbit mangsa.

Susulan kejadian itu, mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Bertindak atas maklumat, sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menahan tiga individu yang dipercayai suspek kejadian dan merampas tiga bilah parang serta seunit telefon bimbit di sebuah kediaman di Permyjaya, Lutong, sekitar jam 1.30 petang semalam.

Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 24 hingga 33 tahun itu kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri bersama barang rampasan bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata.