KUCHING: Tong gas memasak Petronas berwarna hijau yang diedar di Sarawak akan ditukar kepada merah, putih dan hitam mengikut warna lambang Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

Selain itu, jenama dan lambang Petronas pada tong gas cecair petroleum (LPG) itu juga akan digantikan dengan Petros.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, perubahan wajah tong gas memasak itu susulan pengambilalihan pengagihan gas domestik oleh Petros daripada Petronas.

Menurutnya, ia sekali gus menjadikan syarikat minyak Sarawak itu sebagai entiti tunggal untuk membekal, menjual dan mengedar gas domestik ke rumah, perniagaan dan industri Sarawak.

“Lepas ini tidak ada lagi tong gas memasak warna hijau tapi merah, putih dan hitam kerana itu warna Petros dan lambangnya juga menggunakan Petros,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Sarawak Kita Empun di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jalan Bako dekat sini.

Bagaimanapun Abang Johari berkata, harga gas memasak itu masih kekal mengikut harga pasaran sekarang.

“Kita tukar warna dulu, kalau menang besar Pilihan Raya Negeri nanti, kemudian kita aturkan harga pula,” katanya berseloroh.

Berkuat kuasa 1 Januari 2020, Petros mempunyai kawalan dan kuasa penuh ke atas bekalan, jualan dan pengedaran gas asli di Sarawak, selaras dengan Ordinan Pengagihan Gas Negara 2016.

Sementara, Abang Johari berkata selain pengagihan gas domestik daripada Petronas, kerajaan negeri juga telah mengambil alih 15 peratus kepentingan ekuiti dalam LNG Tiga Sdn Bhd (MLNG Tiga) daripada anak syarikat Royal Dutch Shell plc, Shell Gas Holdings (M) Ltd.

Ini menjadikan jumlah kepentingan pegangan Sarawak dalam operator loji gas asli cecair (LNG) itu sebanyak 25 peratus.

“Tahun lepas, kita telah memperoleh dividen sebanyak RM2 bilion daripada LNG ini,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan berkata akan terus memperjuangkan hak dan kuasa Sarawak ke atas produk minyak dan gas.