MIRI: Penganjuran Program Kesedaran Awam Kebersihan dan Keselamatan Sungai merupakan inisiatif, komitmen serta usaha berterusan Kerajaan Sarawak untuk menanam dan meningkatkan kesedaran awam berkenaan pentingnya memelihara kebersihan dan keselamatan sungai serta persekitarannya.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata kebersihan sungai penting disebabkan sungai menjadi sumber rezeki selain menjadi pengangkutan kepada penduduk setempat.

“Kampung ini mempunyai ramai nelayan dan golongan wanita serta rakyat di sini juga menggunakan sungai sebagai keperluan harian.

“Malah, sungai juga merupakan salah satu punca rezeki kita. Bagi para nelayan sungai ini tempat untuk menangkap ikan, udang dan sebagainya.

“Jadi, atas sebab itulah kita mestilah menjaga kebersihan sungai kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Kesedaran Awam Kebersihan dan Keselamatan Sungai di Kampung Muhibbah, Kuala Baram Miri pada Sabtu.

Dalam majlis itu, turut diadakan pertandingan mewarna kanak-kanak yang bertemakan ‘Mencintai Sungai’ yang secara tidak langsung meningkatkan kesedaran dan menanam sikap tanggungjawab pada peringkat umur yang lebih awal.

Juga, diadakan penyerahan simbolik penyerahan ‘life jaket’ kepada para petugas dan simbolik penanaman pokok untuk menyemai semangat cintai alam sekitar.

Datuk Lee Kim Shin yang juga Ahli Dewan Undangan Negri (ADUN) Senadin menambah untuk memastikan kebersihan sungai ini sentiasa terjamin, semua pihak harus bersama memastikan sungai ini sentiasa bersih dan dijaga kebersihannya.

“Kalau sungai tercemar, jadi segala rezeki di sungai kita terganggu dan terjejas.

“Kalau sungai sudah tercemar, ikan pun kurang dan udang pun tidak ada.

“Akhirnya, siapa yang rugi? Kita juga yang rugi. Jadi, sebab itu itu kita mesti menjaganya. Sungai ini juga salah satu punca rezeki kita,” tambahnya.

Justeru, Majlis Perbandaran Miri (MBM), Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta penduduk kampung sama-sama berganding bahu menjaga kebersihan sungai.