KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tong Openg berkata, perkhidmatan bas sekolah percuma di empat bandar utama di negeri ini akan bermula April depan.

Menurut beliau, butiran perkhidmatan bas sekolah percuma itu sudah siap, yang memerlukan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4 juta untuk melaksanakan inisiatif baharu itu.

Perkhidmatan bas sekolah percuma itu akan disediakan di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri sebagai antara inisiatif kerajaan negeri dalam memberi keadilan sosial kepada rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri berkata demikian ketika melancarkan Program Sarawak Kita Empun di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jalan Bako.