KUCHING: Jentera Pilihan Raya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu bersiap siaga untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) akan datang.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, keputusan cemerlang yang dilakar pada pilihan raya lepas tidak sepatutnya memberi keselesaan kepada jentera.

Menurutnya, jentera di Pantai Damai sebaliknya perlu lebih agresif untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat terutama melibatkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Kita tidak boleh terlalu selesa dengan keputusan lepas atau mengharapkan bendera yang digantung sahaja untuk memperkenalkan GPS.

“Persepsi masyarakat terutama warga emas juga perlu diubah kerana tiada lagi logo dacing atau Barisan Nasional.

“Kalau kita tidak melakukan sesuatu untuk memberi penerangan mengenai GPS maka kita akan mengalami kerugian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menangguhkan Bengkel Persiapan Jentera Pilihan Raya GPS-PBB Cawangan N.4 Pantai Damai di sini, Ahad.

Dr Abdul Rahman yang juga ADUN Pantai Damai menjelaskan, PRN12 juga merupakan kali pertama logo GPS digunakan pada pilihan raya.

Menurutnya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah memberi bayangan mengenai tarikh sebenar pilihan raya.

“Apa yang pasti ia (PRN12), ia diadakan tidak lama lagi. Ketua Menteri memaklumkan kita sudah masuk Maghrib sementara menunggu Isyak.

“Jadi ia merupakan bayangan untuk kita terus bekerja keras untuk memastikan Sarawak terus dipimpin parti anak tempatan (GPS),” ujarnya.

Dr Abdul Rahman berkata, GPS terbukti berjaya mentadbir negeri ini termasuk dalam melaksanakan projek mega seperti jambatan.

“Kerajaan negeri di bawah GPS juga menyediakan banyak bantuan kepada rakyat Sarawak.

“Ini membuktikan GPS mampu mentadbir negeri ini walaupun tanpa sokongan kerajaan persekutuan,” jelasnya.

Pada majlis tersebut, Dr Abdul Rahman turut melancarkan jentera pilihan raya GPS-PBB Cawangan N.4 Pantai Damai.