KUCHING: Nasib mangsa kebakaran di Kampung Sourabaya Ulu mendapat perhatian daripada Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Dr Abdul Rahman yang mengunjungi kesemua mangsa kebakaran turut menghulurkan sumbangan kewangan.

Menurutnya, pihaknya akan membantu mangsa menerusi biro kebajikan di bawah PBB Cawangan Pantai Damai.

“Menerusi biro ini, kita akan memaklumkan kepada agensi terbabit, NGO dan badan korporat mengenai bantuan yang boleh diberikan kepada mangsa,” katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 7.50 pagi, lima rumah terbakar melibatkan 21 mangsa.

Dr Abdul Rahman yang juga ADUN Pantai Damai berkata, bantuan jangka masa panjang yang akan diberikan kepada mangsa ialah insentif rumah terbakar menerusi kerajaan Sarawak.

“Ia akan kita usahakan nanti. Selepas laporan bomba selesai, gotong-royong akan diadakan untuk membersihkan lokasi kebakaran,” ujarnya.