KUCHING: Hanya disebabkan memecah cermin kenderaan, seorang lelaki berusia 25 tahun kini dicari polis setelah dipercayai membunuh rakannya sendiri dengan beberapa tikaman objek tajam pada badan.

Si mati, 37, ditemui mati di kaki lima premis RPR fasa dua, Batu Kawa di sini, awal pagi tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ramli Din dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuching berkata, si mati ditemui oleh orang awam dan bertindak melaporkan kepada polis sekitar jam 3.40 pagi.

Pemeriksaan awal polis mendapati si mati dibunuh oleh kenalannya sendiri yang turut memboncengnya selepas mereka berdua minum di lokasi kejadian.

Melalui pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) jelasnya, pembonceng (suspek) dilihat menyelak bajunya dan mengeluarkan sesuatu seperti objek tajam sebelum menikam mangsa.

Mangsa dilihat terjatuh dari motosikal dan dipercayai maut di lokasi kejadian, katanya.

Sehubungan itu, pihak polis telah mengenal pasti identiti suspek yang merupakan lelaki warga tempatan.

Ramli Din berkata, polis kini mengesan suspek yang masih bebas.