SIBU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya merampas 964 liter arak jenis langkau putih (langkau) tanpa lesen bernilai RM262,547.86 termasuk cukai hasil serbuan ke atas sebuah kilang di Jalan Upper Durin Bahagian Kanan, Rabu lalu.

Pengarahnya, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, kilang tersebut dijumpai pada jarak 150 meter di belakang sebuah kediaman oleh pasukan Unit Operasi Darat dan Unit Marin, Cawangan Penguatkuasaan serta Unit Industri JKDM Sibu sekitar jam 1.30 tengah hari.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati kilang terbabit dipercayai tempat untuk membuat dan menyuling langkau putih berikutan penemuan peralatan-peralatan serta beberapa tong arak putih yang siap diproses.

“Pemeriksaan awal mendapati kilang tersebut telah beroperasi tanpa lesen pengilangan di bawah Akta Eksais 1976.

“Pasukan kita bertindak menyita kesemua barangan kes termasuk 964 liter arak langkau yang telah masak dan siap untuk dijual, 35,700 liter bahan mentah (tapai), serta beberapa alat dan juga bahan pengoperasian,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Tambahnya, kesemua barang yang disita seterusnya dihantar ke pejabat Penguatkuasaan JKDM Sibu untuk tindakan selanjut.

Dedahnya, pihaknya turut menahan seorang warga tempatan yang disyaki terlibat dalam aktiviti tersebut bagi membantu siasatan.

Halimah berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 74 dan 75, Akta Eksais 1976 iaitu mengilang dan memiliki alat suling tanpa kelulusan.

Tegasnya, jika sabit kesalahan,suspek (bagi kesalahan pertama) boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali amaun duti dan tidak lebih daripada 20 kali amaun duti atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada masyarakat untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan kepada pihaknya dengan segera.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana pejabat kastam yang berhampiran di semua negeri.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan,” ujarnya.