KABONG: Hujan yang turun sejak awal pagi tidak menjadi penghalang kepada pelaksanaan Program Jom Ke Sekolah, Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman yang dilangsungkan di sini pagi tadi.

Program Permuafakatan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia (KPM-PDRM) Jom Ke Sekolah ( JKS) itu berlangsung jam 7 pagi dengan dirasmikan secara bersama oleh Guru Besar SK. Abang Leman, Mokhtar Jaya dan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) PDRM, Koperal Noradzila Morshidi.

Guru Besar SK Abang Leman, Mokhtar Jaya berkata, objektif pelaksanaan Jom Ke Sekolah adalah untuk mewujudkan hubungan mesra dan kolaborasi yang lebih mantap di antara pihak sekolah dan pihak polis melalui pegawai perhubungan sekolah ( PPS).

“Ini usaha membantu mencegah salah laku disiplin murid sekolah daripada terlibat dalam kegiatan jenayah dan perlakuan yang menyalahi undang-undang serta tidak bermoral sama ada di dalam atau di luar sekolah.

“Pihak sekolah akan terus berusaha untuk menimbulkan minat dan daya tarikan supaya murid rajin datang ke sekolah.

“Program ini juga akan memperluas penggunaan papan kenyataan PPS di sekolah-sekolah bagi tujuan memaparkan maklumat penting dan terkini mengenai isu-isu semasa kepolisan kepada warga sekolah dan ibu bapa.

“Dengan yang demikian ia diharap dapat menghindari murid dari ponteng sekolah, mencegah salah laku murid daripada terlibat dalam kegiatan jenayah atau tidak bermoral sama ada di dalam atau di luar sekolah, ” ujarnya.

Tambahnya , PPS akan mengadakan kunjungan ke sekolah sekurang-kurangnya sebulan sekali supaya dapat memberi nasihat dan panduan kepada murid-murid semasa perhimpunan sekolah.

Perasmian bersama oleh Guru Besar SK Abang Leman Kabong, Mokhtar Jaya dan Koperal Noradzila Morshidi