MIRI: Pembangunan ‘Inovasi dan Hab Digital’ di Sarawak membuktikan kesungguhan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg merealisasikan inisiatifnya bagi melangkah dengan lebih yakin di masa hadapan selain menggalakkan belia bersaing dalam arena global.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh berkata, langkah ini turut menyediakan ruang semaian inovasi serta kreativiti dalam kalangan generasi muda Sarawak.

“Usaha ini membuktikan kesungguhan Ketua Menteri merealisasikan inisiatif kesebelas iaitu untuk menubuhkan Sarawak Innovation Hub sebagai ruang semaian bibit inovasi serta kreativiti dalam kalangan generasi muda khususnya dan warga Sarawak amnya.

“Dengan pembangunan hab digital ini generasi muda akan mampu bersaing di arena global serta mampu menjadi job creator dan bukan semata-mata menjadi job seeker,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian SMA-TEGAS Digital Innovation Hub sini, Sabtu.

Len yang juga merangkap Pengerusi TEGAS menambah, fenomena ini turut buka jalan untuk golongan belia tembusi bidang keusahawanan dengan mudah.

“Pada tahun lalu kerancakkan fenomena ini tidak wujud seperti sekarang, dimana belia berpeluang mengasah bakat mereka dalam inovasi digital dan keusahawanan dengan mudah.

“Bayangkanlah kesan berganda daripada 81 inisiatif yang diilhamkan Ketua Menteri untuk rakyat, rakyat telah dihidangkan dengan peluang kemakmuran dan sekarang adalah tanggungjawab rakyat untuk menikmati hidangan tersebut sebaik-baiknya,” katanya.