KABONG: Tabung Masjid Assabirin di sini menjadi mangsa terbaru pencuri sebelum solat Subuh pagi tadi.

Tabung berkenaan ditemui rosak oleh penduduk yang datang untuk menunaikan solat Subuh dengan bahagian atasnya dirobek dan mangga kuncinya dirosakkan.

Pengerusi Pengurusan Masjid Assabirin, Ahmad Johar Haji Bidin memberitahu kes berkenaan telah dibuat laporan polis pagi tadi.

Menurut Johar, kejadian berkenaan merupakan yang kedua kalinya berlaku selepas insiden yang sama berlaku pada 30 Januari lalu namun membabitkan tabung yang berlainan.

“Pihak kami ada memasang kamera litar tertutup (CCTV) di masjid. Si pelaku telah dikesan oleh CCTV dan kita telah menyerahkan rakaman CCTV kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Dalam rakaman CCTV kita dapat melihat gelagat seorang lelaki yang menggunakan topi dan baju warna putih keluar dari dalam masjid melalui pintu belakang. Suspek turut membawa beg sandang.

“Suspek dianggarkan berusia dalam lingkungan belasan tahun ataupun mungkin awal 20-an , ” ujarnya.

Tambahnya berdasarkan semakan pada rakaman CCTV kejadian itu dilakukan pada jam 4. 01 minit pagi iaitu sebelum subuh.

Pihak mereka juga tidak dapat menjangka berapa jumlah wang di dalam tabung yang dikebas pencuri itu.

“Tabung berkenaan diikat dengan rantai pada tiang dan dibuat daripada besi. Suspek telah bertindak merosakkan mangga kunci dan menebuk tabung itu untuk mengambil wang yang ada di dalamnya.

“Sementara siasatan dilakukan pihak polis pihak kami akan memikirkan juga cara untuk menyelamatkan tabung masjid selepas ini. Dulu tak ada CCTV jadi kami pasang CCTV untuk tujuan keselamatan. Tapi pencuri nampaknya nekad dan berani walaupun masjid diawasi dengan CCTV, ” jelasnya.