KUCHING: Program Sarawak Kita Empun dilancarkan hari ini, oleh Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Dianjurkan Majlis Tertinggi Wanita PBB, program ini bertujuan memberi penerangan yang jelas mengenai hala tuju dan usaha terkini khususnya daripada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam usaha melindungi dan mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis.

Selain memberi gambaran sebenar mengenai kerajaan Sarawak yang diterajui GPS, program ini diharap dapat menjadi perangsang kepada rakyat Sarawak khususnya dalam kalangan wanita untuk terus memberi mandat dan kepercayaan kepada GPS.

Program Sarawak Kita Empun akan dijalankan di seluruh Sarawak, di mana bergerak dari satu cawangan PBB ke cawangan PBB yang lain bagi menghimpunkan wanita-wanita dalam kawasan khasnya pimpinan wanita PBB di peringkat akar umbi.

Ia juga akan diisi dengan sesi-sesi perkongsian strategik daripada tokoh-tokoh berkaitan yang akan mengupas beberapa perkara yang menjadi perhatian rakyat Sarawak masa ini seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), usaha kerajaan Sarawak dalam mempertahankan tanah NCR, projek rakyat dan lain-lain lagi.

Sesi soal jawab seperti Townhall bagi membolehkan komunikasi dua hala bersama wakil rakyat tempatan juga turut diadakan bagi mendapatkan perkembangan terkini secara lebih terperinci terutamanya di peringkat akar umbi.