BAU: Syarat permohonan bagi Rumah Spektra Permata (RSP) yang diperkenalkan kerajaan negeri telah diperluaskan kepada pendapatan isi rumah di bawah RM6,000 sebulan. 

Menteri Muda Perumahan Dan Kesihatan Awam, Dr Annuar Rapa’ee berkata, sebelum ini syarat untuk memohon RSP adalah bagi yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM3,500 sebulan.

Jelasnya, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Sarawak (HDC) untuk menyediakan tapak perumahan atau lot-lot perumahan untuk rakyat memiliki kediaman sendiri.

“Sebelum ini syarat membeli RSP adalah RM3,500 sebulan tetapi sekarang telah diperluaskan kepada mereka yang berpendapatan RM6,000 sebulan.

“HDC membina rumah di sesuatu kawasan berdasarkan kajian yang dibuat terhadap keperluan rumah oleh masyarakat setempat,” katanya semasa Majlis Pelancaran Rumah Spektra Permata Daerah Bau, pada Sabtu.

Turut hadir ialah, ADUN Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep, ADUN Batu Kitang, Lo Khere Chiang, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Mohamad Asman Ahmad dan Pegawai Daerah Bau, Anelia Siam.

Sementara itu, Dr Annuar memberitahu, di daerah Bau sebanyak 164 buah RSP akan dibina dan yang akan dijual awal adalah 50 unit rumah.

“RSP adalah inisiatif Ketua Menteri (Datuk Patinggi Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg) untuk membantu golongan berpendapatan rendah agar lebih ramai keluarga memilik rumah,” jelasnya.