KUCHING: Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini memberitahu kerajaan sedang merangka untuk meminda hukuman terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian.

Memetik Bernama beliau berkata, cadangan adalah hukuman penjara bagi pesalah itu turut ditingkatkan kepada 20 tahun berbanding 10 tahun ketika ini.

Pesalah juga dicadang didenda sehingga RM100,000 jelasnya lagi kepada media di Bagan Jermal, Butterworth hari ini.

Sementara pada Sabtu lepas, Ahli Parlimen Kuala Nerus dari Pas, Dato’ Dr Mohd Khairudn Aman Razali At-Takiri menyatakan sokongan terhadap kenyataan Timbalan Presiden Pas Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man yang mencadangkan agar pemandu mabuk yang melanggar mati orang awam dianggap membunuh dengan niat atau tanpa niat dalam konteks perundangan Islam.

Memetik Harakah Dailiy beliau berkata, adalah wajar pesalah yang menyebabkan kematian orang awam dikenakan hukuman bunuh juga.

“Sedangkan negara bukan Islam di Benua Asia seperti Taiwan dan China pun telah mengetatkan undang-undang jalan raya mereka, termasuk bagi menghukum mati pemandu mabuk yang melanggar mati orang awam.

“Begitu juga negara bukan Islam di Benua Eropah seperti Sweden dan di Benua Amerika seperti sesetengah negeri di Amerika Syarikat,” katanya.

Paling asas jelasnya lagi adalah menarik selama-lamanya lesen memandu mereka didapati memandu di bawah pengaruh alkohol seperti pernah dicadangkan oleh bekas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Dato’ Othman Talib.

“… atau menarik selama-lamanya lesen memandu mereka yang mengakibatkan kemalangan maut,” tambahnya.

Beliau turut setuju dengan saranan Timbalan Presiden Pas agar pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengatasi gejala pemandu mabuk sehingga menyebabkan banyak kematian orang awam dilakukan dalam sidang Dewan Rakyat pada Mac depan.

Katanya, “Tidak perlu ditangguhkan ke bulan Jun atau Julai kerana usaha mengkajinya telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke sejak 2018 dan 2019 lagi dan bagi mengelakkan lebih banyak nyawa manusia hilang.”

Untuk rekod, pada 9 Februari lalu, dalam kemalangan sekitar jam 5 pagi, seorang lelaki maut sementara isteri mangsa yang cedera parah dan dalam keadaan koma setelah motosikal mereka dilanggar dari bahagian belakang oleh kereta dipandu oleh seorang lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk di Kilometer 140.1 Lebuh Raya Utara Selatan.

Sementara di Seremban, sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki yang dipercayai mabuk merempuh sebuah kereta hingga pemandunya maut, manakala tiga penumpang dan seorang pembonceng cedera.

Kejadian berlaku pada 16 Februari lalu di Kilometer 17.5 Lebuh Raya lekas di Seremban.