BAU: Setakat ini Kerajaan Sarawak telah siap membina sebanyak 1,380 daripada 2,500 unit Rumah Spektra Permata, jelas Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Dr Annuar Rapee.

Bercakap kepada media selepas melancarkan Rumah Spektra Permata di Dataran Baru pada Sabtu beliau berkata, keseluruhan jumlah itu akan siap dibina dalam tempoh dua tahun dengan fasa pembinaan dilaksanakan dengan segera.

Beliau menjelaskan lagi, Kerajaan Sarawak sebelum ini berjanji untuk membina 2,500 unit rumah tersebut dalam tempoh ditetapkan – 2019 hingga 2021.

Baki rumah itu tambahnya akan terus dibina dan lokasi di seluruh negeri ini juga sudah dikenal pasti.

“Oleh kerana projek ini bermula pada tahun 2019 dan berakhir pada tahun 2021, pembinaan perlu bermula sekarang dan disiapkan menjelang tahun depan,” jelasnya.

Mengenai penerimaan rakyat Dr Annur berkata, respons rakyat baik, malah terdapat banyak permintaan terhadap rumah tersebut.

Memetik laman sesawang Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak, pelaksanaan Program Rumah Spektra Permata di Skim Pembesaran Kampung Jabatan Tanah dan Survei.

Program perumahan ini diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak pada 15 Februari 2017 semasa perasmian tapak Rumah Spektra Permata di Skim Pembesaran Kampung Lundu.

Rumah tersebut adalah jenis setingkat dengan keluasan 750 persegi, yang memiliki tiga bilik tidur, dua bilik air dan satu ruang makan yang dijual pada harga RM120,00 ke bawah satu unit.

Rumah tersebut khusus untuk isi rumah yang tidak memiliki mana-mana hartanah yang berpendapatan bawah RM6,000 sebulan.

Pembiayaan pinjaman pula disediakan oleh Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd.

Foto: Laman sesawang HDC