MUKAH: Tindakan berani pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah berjaya menyelamatkan sejumlah wang RM27,000 daripada menjadi abu dalam kejadian kebakaran besar sebuah rumah di Kampung Penakup Ulu, pagi tadi.

Komander Operasinya, PBK I Rasit Morni berkata, hanya sejumlah wang itu dapat dicapai sebelum rumah tersebut habis dijilat api secara keseluruhan.

Menurutnya, panggilan laporan kejadian telah diterima pada pukul 9.26 pagi sebelum mengerahkan lapan anggota bersamanya ke lokasi kebakaran.

“Setibanya di lokasi mendapati sebuah rumah struktur tidak kekal berkeluasan 60×60 kaki persegi terbakar 100 peratus.

“Operasi menyelamat sempat membawa keluar sejumlah wang sebanyak RM27,000 daripada jumlah sebenar yang dianggarkan, iaitu RM35,000 di rumah terbabit,”jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kesemua wang terbabit seterusnya segera diserahkan semula kepada pemilik.

Dalam pada itu, katanya, hasil pemeriksaan susulan mendapati tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan semasa kejadian.

“Rumah tersebut merupakan tempat tinggal dua buah keluarga yang berpenghuni seramai 14 orang, dan kesemua mangsa dilaporkan telah selamat,” jelasnya lagi.

Ujarnya, operasi pemadaman dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.50 pagi.