KUCHING: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) meminta syarikat Sarawak menyertai Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2020 dan merebut anugerah kategori utama iaitu Anugerah Perdana Menteri yang menawarkan hadiah RM500,000.

Pengarah MPC Wilayah Sarawak Sarimah Misman berkata, jemputan itu terutama kepada syarikat Sarawak yang telah menyertai Anugerah Kecemerlangan Industri Ketua Menteri (CMIEA) 2019 dengan tarikh tutup penyertaan AKI 2020 adalah pada 30 April depan.

“AKI 2020 sebenarnya dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri ( MITI), tapi kita (MPC) telahpun melatih syarikat (Sarawak) supaya faham untuk menjadi organisasi berjaya dan kriteria yang perlu ada,” katanya selepas merasmikan Acara CEO Talk 2020 di sini, semalam.

Sarimah berkata, 22 syarikat Sarawak yang telah menyertai CMIEA 2019 layak menyertai AKI 2020 kerana kriteria kejayaan syarikat yang dinilai bagi menentukan pemenangnya adalah sama.

“AKI 2020 adalah untuk seluruh syarikat di Malaysia dan tidak terhad kepada syarikat kecil dan sederhana. Syarikat besar pun boleh masuk (menyertainya) dan ada kategorinya,” katanya.

Kategori utama AKI 2020 ialah Anugerah Perdana Menteri yang menawarkan hadiah RM500,000 dengan tahun lepas dua syarikat Sarawak telah menyertai AKI 2019 tetapi tidak menyertai kategori utama terbabit.

“Kita mahu syarikat supaya Sarawak setanding syarikat di Semenanjung (melalui AKI 2020) dan juga lebih menonjol. Saya menyasarkan sebanyak 10 syarikat Sarawak akan menyertai AKI 2020,” katanya.

Beliau juga berharap daripada 10 syarikat itu, akan ada antara mereka terpilih merebut kategori utama Anugerah Perdana Menteri dan menonjolkan kehebatan syarikat Sarawak.

Tahun lepas sebanyak 60 hingga 80 syarikat dari seluruh negara layak menyertai AKI 2020.