KUCHING: Syarikat Osho Ventures yang berpangkalan di India dan Afrika Selatan berhasrat untuk melabur dalam industri perlombongan arang batu di Sarawak.

Pengerusinya Virendra Kumar Agrawal berkata ia, merupakan peluang untuk meningkatkan ekonomi negara hingga ke peringkat global.

“Pada peringkat awal, kita melabur sejumlah AS$10 juta (RM40 juta) untuk kajian teknikal.

“Seterusnya, kita merancang untuk melabur sebanyak AS$200 juta (RM820 juta) lagi berdasarkan kajian yang diperolehi,” katanya pada sesi sidang media semalam.

Menurutnya, terdapat beberapa lokasi di Sarawak yang dikenal pasti mempunyai deposit arang batu di bawah tanah ekoran kegiatan perlombongan tidak diutamakan di negeri ini.

Tambah beliau, deposit tersebut dapat diterjemahkan ke dalam hasil Kerajaan Negeri melalui royalti dan cukai eksport arang batu yang terjual.

“Melalui industri ini, kita bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi negara malah ia turut membuka peluang pekerjaan bagi penduduk di Sarawak.

“Lebih 4,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan melalui projek perlombongan arang batu dimana 90 peratus daripadanya adalah untuk rakyat tempatan manakala 10 peratus dari luar negara,” ujarnya lagi.

Sementara Pengasas dan Pengarah Osho Sumit Agrawal pula menjelaskan, arang batu yang diekstrak bukan sahaja dapat memenuhi keperluan tempatan malah ia juga dapat mengurangkan kos penggunaan simen di dalam negara.

Virendra berharap agar kerajaan negeri memberi kebenaran kepada Osho untuk meneroka perlombongan arang batu di Sarawak dengan meluluskan permit dan memberi sokongan terhadap cadangan tersebut.

Tegasnya, Sarawak perlu mencontohi negara Indonesia yang mengeksport lebih 400 juta tan arang dengan anggaran pendapatan sebanyak AS$22 bilion (RM90 bilion) setiap tahun.