SRI AMAN: Pembangunan Bahagian Sri Aman dirancang secara bersepadu bagi mewujudkan nilai tambah kepada sosioekonomi masyarakatnya.

Residennya Indit Bangai memberitahu, Sri Aman merupakan bahagian yang sedang rancak membangun di Sarawak.

“Ini terbukti dengan rancangan projek pembangunan yang telah kita susun atur untuk dilaksanakan pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bermula 2021 sehingga 2025,” katanya.

Jelasnya, dalam tempoh tersebut pasukan pentadbiran di peringkat pentadbiran bahagian merancang secara persepadu.

“Antara fokus utama dalam RMK-12 ialah membangunkan infrastruktur, pertanian dan pelbagai industri.

“Kita juga akan memberi fokus kepada pembangunan modal insan dan sebarang isu keselamatan kerana Sri Aman bersempadan dengan Kalimantan Barat.

“Saya percaya dengan perancangan yang bersepadu dan aktiviti koordinasi yang lebih efektif dalam tempoh lima tahun akan datang, banyak lagi program pembangunan dapat dilaksanakan supaya Sri Aman terus maju sama seperti Bahagian lain,” ujarnya.

Katanya lagi, pelaksanaan projek mega seperti pembinaan jambatan dan jalan raya yang bakal menghubungi bahagian ini sekaligus turut membangunkan aktiviti sosioekonomi yang lain seiring perkembangan pesat Sarawak menuju negeri maju menjelang 2030.