KUCHING: PAS yakin dengan memberi undi percaya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri hingga habis penggal, beliau (Tun M) akan dapat mengatasi masalah yang timbul.

Memetik Harakah Daily, Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata, di bawah kepemimpinan Tun M (Perdana Menteri paling lama), memang ada masalah yang timbul, tetapi beliau (Tun M) dapat mengatasinya.

Abdul Hadi seterusnya menjelaskan, PAS mencadangkan dan tetap akan membawa undi percaya kepada Tun M pada Persidangan Parlimen.

Menurutnya lagi, ia akan memberi peluang kepada ahli parlimen memberikan undi yang membenarkan pengalaman proses demokrasi.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sekali menegaskan, dengan adanya undi percaya itu, beliau percaya kedudukan Tun M sebagai Perdana Menteri akan kukuh serta mendapat dukungan rakyat.

Ini kerana jelasnya, ahli parlimen dipilih oleh rakyat melalui undi yang diberikan pada Pilihan Raya Umum lalu.

Cadangan undi percaya kepada Perdana Menteri oleh PAS sebelum ini menimbulkan banyak polemik negara.

Memetik Bernama, bakal Perdana Menteri Ke-8, yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menyifatkan cadangan itu sebagai perkara ‘canggung’.

Mengatakan ia tidak pernah dilakukan oleh mana-mana parti pembangkang sesebuah negara, Anwar menyatakan cadangan itu tiada asas untuk dibincangkan dalam mesyuarat PH.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon dilaporkan menolak usul undi percaya terhadap Perdana Menteri.