KUALA LUMPUR: Maklumkan kepada Rumah Sarawak jika ada rakyat Sarawak di Semenanjung yang memerlukan bantuan terutama golongan yang tidak berkemampuan, menurut Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Penasihat Sarawak Volunteers berkata, kerjasama semua pihak termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) adalah sangat di alu-alukan untuk sama-sama membantu sekiranya terdapat kes yang melibatkan rakyat Sarawak yang memerlukan bantuan.

“Sepanjang tahun lalu (2019), 201 pesakit dan waris rakyat Sarawak yang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sg Buloh, Hospital Selayang, Hospital Serdang, Hospital Putrajaya dan Hospital Ampang menerima bantuan Kerajaan Negeri,” katanya ketika berucap di Majlis Taklimat Kebajikan Rakyat Sarawak sini, Jumaat malam.

Sepanjang 2019 juga, dedah Fadillah, 49 kes khairat kematian telah dibantu dan diuruskan yang melibatkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM157,750.

Fadillah turut memuji usaha Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur (PPSKL) dan Sarawak Volunteers dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang selama ini telah membantu kes-kes yang telah dirujuk melibatkan rakyat Sarawak.