KABONG: Jangan guna besi berkarat atau besi buruk untuk membuat struktur sesuatu binaan.

Itu peringatan tegas oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) ketika melakukan pemeriksaan mengejut ke lokasi pembinaan jeti baharu di tebingan Kampung Hulu di sini petang semalam.

Jurucakap JKR Betong, Mohamad Eqwann Ibrahim berkata pihak kontraktor perlu mematuhi spesifikasi dan ketetapan dalam tender demi memastikan sesuatu bangunan atau projek memenuhi ciri-ciri keselamatan.

Tinjauan mengejut itu dibuat selepas adanya aduan penduduk tentang kontraktor terlibat yang membiarkan besi atau keluli yang hendak diguna sebagai kerangka tiang dan lantai terbiar di kawasan terbuka berair masin serta berkarat dalam tempoh yang agak lama.

Karat yang terbentuk pada batang keluli katanya akan meyebabkan struktur binaan tidak kukuh dan akan mudah merekah dan rosak selepas pembinaan siap.

Sehubungan dengan itu petang semalam pihak kontraktor terlibat diarahkan serta-merta mengalihkan kesemua besi yang sudah berkarat dan diarahkan menukar dengan yang baharu untuk meneruskan projek jeti tersebut.

Akur dengan arahan itu pihak kontraktor terlibat telah menarik balik kesemua besi berkarat yang ada di kawasan pembinaan jeti dengan menggunakan lori.