KUCHING: Chong Chieng Jen tidak sepatutnya membandingkan status penduduk tetap (PR) dengan kewarganegaraan Australia.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dalam satu kenyataan berkata, Mahkamah Persekutuan pada Selesa lalu membatalkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai wakil rakyat Pujut kerana mempunyai dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Australia yang diperolehnya pada 2010.

“Apabila Tiong Choon kalah dalam kes perbicaraan tersebut, kini Chieng Jen mengeluarkan kenyataan yang mahu mengelirukan rakyat Sarawak dengan PR saya dengan kerakyatan Australia Tiong Choon,” tegasnya.

Kui Hian yang juga Adun Batu Kawah berkata, semasa berada di Australia selama 17 tahun, beliau tidak pernah memohon kerakyatan Australia atau menjalankan hak kewarganegaraan atau membuat sebarang pengisytiharan kesetiaan kepada mana-mana negara di luar Malaysia.

Menurutnya, sejurus tamat latihan sebagai ahli kardiologi di Melbourne, Australia beliau kembali ke Sarawak untuk berkhidmat di hospital awam.

Sebaliknya, Tiong Choon memilih untuk berkhidmat di Australia selepas tamat latihan perubatan dan memperoleh kerakyatan di Australia.

“Dengan memohon kerakyatan Australia, Tiong Choon berikrar kesetiaannya kepada Australia dan ini tidak diperlukan untuk permohonan PR.

“Sementara saya kembali untuk berkhidmat di negeri ini dan dipilih sebagai Adun untuk Batu Kawah sebagai rakyat Sarawak,” ujarnya.

Kui Hian yang juga Presiden SUPP menambah, beliau sangat bangga dengan Perlembagaan Negeri yang secara tegas menghalang rakyat bukan Sarawak berkhidmat sebagai Adun.

“Chieng Jen sangat tidak berpuas hati dengan keputusan Makhamah Persekutuan terhadap Tiong Choon.

“Adakah dia mahu mencadangkan rakyat bukan Sarawak berkhidmat sebagai Adun negeri ini?

“Saya juga tertanya-tanya adakah PH mempunyai agenda tersembunyi dengan menggunakan DAP Sarawak mencari jalan membuka ruang kepada bukan rakyat Sarawak memerintah dan mewakili negeri ini?” jelasnya.

Oleh itu, Kui Hian menyifatkan tindakan sedemikian bukan untuk kepentingan Sarawak tetapi cita-cita politik dan tamak.