KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd memeterai kerjasama dalam usaha mewujudkan kesedaran kepentingan menjaga kebersihan persekitaran dalam kalangan masyarakat.

Datuk Bandar DBKU, Datu Haji Junaidi Haji Reduan berkata sebagai permulaan, pihaknya telah memilih Kampung Gita Baru sebagai perintis kepada projek mencantikkan pusat pengumpulan tong sampah.

“Pihak Trieneken telah bersetuju memberi kerjasama penuh dalam membantu DBKU melaksanakan projek perintis itu sebagai langkah menyelesaikan isu tempat pembuangan sampah yang kotor,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Projek ‘Bin Centre Beautification’ di Kuching pada Sabtu.

Junaidi menambah, projek perintis itu juga merupakan salah satu daripada insiatif DBKU dalam menangani masalah vandalisme terhadap tong-tong sampah yang semakin menunjukkan tren peningkatan.

“Beberapa lagi kawasan dalam pentadbiran DBKU telah dikenalpasti untuk dilaksanakan projek sama dalam masa terdekat,” katanya lagi.