BINTULU: Seorang lelaki asing yang nekad terjun dari tingkat satu sebuah bangunan di Jalan Abang Galau di sini semalam kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata saspek tersebut, bagaimanapun, hanya mengalami cedera ringan dan dirawat di Hospital Bintulu.

Menurutnya, saspek merupakan satu daripada dua warga asing yang ditahan dalam serbuan oleh sepasukan polis daripada Balai Polis Pusat Bintulu, jam 4 petang Rabu bertempat di belakang kedai pusat servis kereta di Jalan Abang Galau.

Katanya, serbuan dibuat setelah intipan dua minggu hasil maklumat awam sambil menambah hasil serbuan, pihak polis menemui bekas plastik mengandungi 211 keratan tiub straw, dan lima peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki Methamphetamine (syabu) dengan berat kasar 21.19 gram termasuk wang tunai RM1,000.

Anggaran nilai pasaran dadah dirampas itu, katanya, adalah RM3,150 manakala dua suspek yang ditangkap berumur 29 dan 32 tahun itu tiada pekerjaan serta tiada rekod kesalahan lampau.

Zulkipli berkata rampasan ke atas bungkusan dadah pelbagai saiz itu, dipercayai dijual pada harga antara RM50 hingga RM150 setiap satu di pasaran.

Kedua- dua suspek kini ditahan reman 14 hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39A(1)Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, ujarnya.

Katanya lagi, dua lelaki itu yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah juga akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c)Akta Imigresen 1959/63.

Sejak Januari hingga setakat ini, sebanyak empat kes direkodkan dengan tujuh tangkapan di bawah Seksyen 39A(1)ADB 1952.

Manakala di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, sebanyak 86 kes dicatatkan.

Zulkipli, dalam pada itu, menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah agar menyalurkan terus kepada polis Bintulu supaya tindakan dapat diambil bagi menggempur kegiatan penyalahgunaan di kawasan terlibat.