MIRI: Pelucutan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai Adun Pujut membuktikan kelemahan DAP dalam memilih calon boleh menang.

Pemerhati politik Jaya Ramba berkata, tindakan itu kerana DAP hanya membuktikan mereka menang tanpa usul periksa.

“Mereka seperti tidak mengenali calon dan seolah-olah tidak tahu undang-undang apabila tidak merujuk apa-apa perkara mengenai kewarganegaraan individu yang boleh dicalonkan” katanya dihubungi semalam.

Malah tambah Ramba, pucuk pimpinan parti DAP tidak pasti akan status Tiong Choon sebagai rakyat Australia yang memiliki rekod individu dan pernah dua kali diisytiharkan muflis.

Jelasnya, Kerajaan Sarawak harus mengekalkan status agar mana-mana individu yang layak sahaja boleh diangkat sebagai pemimpin yang sah.

“Saya kagum dengan cara pemimpin GPS yang mempertahankan perlembagaan negeri ini. “Keadaan ini sama seperti Kerajaan Sarawak mempertahankan cukai hasil bumi yang dituntut dari Petronas.

“Ini hak negeri Sarawak seperti yang dijanjikan Kerajaan Persekutuan dan saya rasa Petronas dan Kerajaan Persekutuan juga harus diajar dengan cara mahkamah,” ujarnya.