Terbaru, perkembangan kes Zuraida Kamaruddin, Naib Presiden PKR yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bakal ditentukan selepas 25 Februari ini. Ini berikutan kenyatan setiausaha politik beliau, Nor Hizwan Ahmad mengatakan bahawa Zuraida hanya dapat berjumpa dengan Lembaga Disiplin PKR pada tarikh tersebut. Beliau juga telah memaklumkan perkara ini kepada Lembaga Disiplin PKR dan telah bersetuju dengan tarikh tersebut setelah mengambilkira komitmen Zuraida sebagai seorang Menteri.

Pada 16 Januari lepas, Zuraida telah diberikan tunjuk sebab ekoran daripada tindakan beliau membuat kritikan terhadap Presiden PKR Datuk Anwar Ibrahim pada majlis makan malam Disember lalu. Rabu lepas, setiausaha politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad telah mewakili Zuraida menghantar jawapan kepada surat tunjuk sebab yang telah diberikan sebelum ini ke Pejabat PKR.

Isu berkaitan dengan surat tunjuk sebab Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan persekutuan ini telah mendominasi isu yang berlegar dalam PKR. Semasa penghantaran jawapan kepada surat tunjuk sebab itu beberapa kumpulan dalam PKR yang pro dan anti Zuraida telah berkumpul di luar perkarangan pejabat PKR. Malahan perhimpunan turut diadakan dibeberapa buah negeri.

Berikutan daripada itu, Presiden PKR telah mengeluarkan arahan serta amaran akan mengambil tindakan kepada ahli parti yang terlibat dalam perhimpunan tersebut. Ada dalam kalangan penyokong Zuraida juga mendakwa bahawa sekiranya Zuraida dipecat akan menyebabkan ramai ahli parti yang merupakan penyokong beliau turut keluar parti. Perkembangan ini ternyata boleh mengeruhkan lagi apa yang bakal terus menghantui parti yang dominan dalam PH ini.

Kini, para penyokong Zuraida dan yang ahli parti yang tidak menyokong beliau sedang menunggu keputusan daripada para ahli Lembaga Disiplin PKR untuk memberikan keputusan. Persoalanya, apakah keputusan yang bakal diberikan oleh Lembaga Disiplin PKR dalam isu Zuraida ini? Adakah isu ini bakal tenggelam dan tidak ada keputusan akan diberikan?

Persoalan yang paling penting, adakah Zuraida bakal dipecat? Cukupkah bukti untuk menyingkirkan Zuraida dari PKR? Persoalan ini terpulang kepada anda untuk menjawab.

Apa pun, isu Zuraida ini bakal memberi implikasi kepada PKR dalam masa terdekat dan pada masa hadapan. Ini kerana Zuraida merupakan antara individu yang berpengaruh dalam PKR. Penyelesaian terbaik yang memberi keputusan menang-menang harus diutamakan. Bak kata pepatah, penyelesaian kepada isu Zuraida ini harus dilakukan seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

Zuraida turut terkenal juga sebagai penyokong kuat Timbalan Presiden PKR iaitu Azmin Ali. Apa-apa keputusan yang bakal diberikan kepada tindakan Zuraida sebelum ini sudah pasti turut memberi kesan kepada Timbalan Presiden PKR juga. Isu Zuraida ini sudah pasti akan memberi kesan kepada PKR yang tidak lekang dengan permasalahan dalaman parti. Harapan rakyat yang menggunung dibelakang PKR seolah-olah tidak diberi perhatian oleh kepimpinan PKR.

PKR sebagai sebuah parti teras atau dominan dalam gabungan PH seharusnya memperkukuhkan lagi fungsi sebenar sebagai parti yang dominan. Suara reformasi seharusnya bergema dalam gabungan PH dan menjadi agenda utama kerajaan pimpinan PH. Ini tidak berlaku seolah-olah PKR bukan parti dominan dalam PH. PKR gah semasa masih berada dalam pentas pembangkang. Apa yang terjadi kepada PKR? Adakah kita terpaksa menunggu Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri baru kita lihat PKR menyerlah? Adakah kerana kurangnya komunikasi serta pemasaran politik menyebabkan PKR kini tenggelam?

Ironinya, permasalahan atau polemik yang melanda PKR atau PH lebih mendominasi pencapaian yang telah dilakukan oleh PKR atau PH sebagai kerajaan dibahaskan oleh media amnya dan rakyat khasnya. Berbalik kepada isu Zuraida, sesetengah penganalisis politik meramalkan bahawa sekiranya Zuraida dipecat,ia bakal menyukarkan lagi laluan Anwar untuk diangkat sebagai Perdana Menteri ke – 8. Adakah ini bakal berlaku? Sama-sama kita nantikan keputusan para ahli Lembaga Disiplin PKR yang bakal menentukan nasib Zuraida khasnya dan PKR amnya.

Penulis merupakan pensyarah dalam bidang Sains Politik di UNIMAS.