KUCHING: Pusat pemuliaan Al-Quran yang ditempatkan di Masjid Darul Hana akan memudahkan umat Islam melupuskan kitab suci dengan cara terbaik dan teratur.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia penting untuk terus menghormati Al-Quran walaupun tidak digunakan lagi.

“Relau ini akan menjadi kemudahan kepada kita tentang cara-cara melupuskan Al-Quran dengan sebaik-baiknya.

“Kita menghormati kitab suci ini dari awal hingga akhir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Pusat Pemuliaan Al-Quran Bahagian Kuching di Masjid Darul Hana.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) turut mencadangkan masjid dan surau sekitar bandar raya ini menjadi pusat mengumpul Al-Quran sebelum dilupuskan.

“Pusat ini boleh digunakan oleh masyarakat Islam di zon selatan negeri ini sebelum diperluaskan ke masjid lain,” ujarnya.

Menurutnya lagi, dengan adanya relau tersebut, Masjid Darul Hana kini mempunyai pelbagai perkhidmatan termasuk perkahwinan dan pusat pengajian agama.

“Sejak mula digunakan pada 2016, masjid ini padat dengan pelbagai program keagamaan dan kemasyarakatan.

“Dengan adanya pusat ini, kemudahan dan perkhidmatan yang disediaman terus bertambah,” jelasnya.