PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan topeng muka di negara ini mencukupi.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, rakyat juga diminta tidak perlu melakukan pembelian panik untuk produk berkenaan.

“Ya, pengeluar topeng muka sudah bersetuju untuk menambah pengeluarannya. Saya juga sudah maklumkan isu ini kepada Kabinet dan pada masa sama kita melihat pilihan lain yang ada, mana pengeluar yang boleh mengeluarkan lebih dan bersetuju menyelesaikan apa sahaja masalah.

“Kita akan membuat pesanan apabila mendapat kelulusan Kementerian Kewangan. Ada yang kata stok tersedia adalah 400,000 topeng, ada pengeluar kata boleh hasilkan 200,000 sehari dan ada juga yang boleh keluarkan 100,000 seminggu,” katanya selepas mengadakan dialog bersama pemain industri mengenai impak COVID-19, di sini pada Khamis.

Pada sesi itu, Saifuddin mendengar keluhan pemain industri mengenai kesan COVID-19 kepada mata pencarian masing-masing.

Saifuddin turut berjanji akan membawa masalah mereka ke Kabinet dan mencari penyelesaian kepada isu yang ditimbulkan.

Sebelum ini, Saifuddin meminta pengguna untuk peka serta mengadu kepada KPDNHEP melalui mana-mana sembilan saluran aduan kementerian itu termasuk aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317 sekiranya terjumpa sebarang insiden penjualan topeng muka melebihi harga kawalan oleh peniaga.

Katanya, sebarang hasil pemeriksaan dan tindakan yang diambil oleh KPDNHEP berkenaan isu topeng muka akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.