BA’KELALAN: Walaupun kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba’kelalan bukan diwakili pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS), tetapi Kerajaan Sarawak tetap meneruskan pembangunan dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar.

Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong berkata Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg sangat mengambil berat akan keperluan pembangunan di kawasan luar bandar.

“Untuk itu, beberapa projek akan dilaksanakan di kawasan DUN Ba’kelalan seperti Pembinaan Dewan Long Luping RM200,000, Jambatan Gantung ke Tanah Perkuburan Long Luping RM150,000, Naik Taraf Jalan Meringau RM80,000, Naik Taraf Dewan Semadoh Nasib RM50,000, Pembinaan Dewan Long Tanid RM250,000, Baik Pulih Sekolah Kebangsaan (SK) Long Semadoh dan ‘New Water Treatment Plant’ oleh Jabatan Bekalan Air Bersih Luar Bandar (JBALB).

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Lawatan Kerja Ahli Parlimen Lawas Ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakelalan di Central Long Semadoh pada Selasa.

Dato Henry juga mencadangkan kepada wanita untuk menceburi perusahaan kecil di kampung bagi menambahkan lagi pendapatan isi rumah.

Sebagai contoh, pekerjaan pembungkusan jenama Beras ADAN dan Beras ADAN Bario boleh dijadikan peluang untuk menambah pendapatan. Untuk menjayakan peluang ini, beliau akan mencari peruntukan untuk tujuaan tersebut.

Beliau turut memaklumkan akan dibina sebuah Pusat Kebudayaan di Kampung Puneng Trusan di mana berbagai pameran kebudayaan akan ditunjukan sebagai pengisian rumah kebudayaan itu nanti.