KUCHING: Rakyat Sarawak dinasihatkan untuk menangguhkan sebarang perjalanan ke Singapura dan Hong Kong buat masa ini.

Presiden Pertubuhan Pengamal Perubatan Swasta, Dr Liew Shan Fap berkata, nasihat berkenaan dikeluarkan ekoran peningkatan kes positif Covid-19 di kedua-dua negara itu.

“Malah, jika boleh, rakyat Sarawak yang tinggal di Singapura dan Hong Kong dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan pulang ke negeri ini buat masa ini.

“Ini kerana, terdapat peningkatan risiko kontak yang berjangkit di kedua-dua negara terbabit,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Shan Fap, sekiranya perjalanan ke Singapura dan Hong Kong harus dilakukan, individu terbabit perlu kuarantin diri di rumah dalam tempoh 14 hari di samping mengamalkan kebersihan diri yang ketat.

“Amalan kebersihan diri ini mampu melindungi keluarga terdekat daripada dijangkiti.

“Oleh itu, kita menggesa orang ramai memberi kerjasama yang sewajarnya dalam berdepan dengan cabaran kesihatan genting pada masa ini,” ujarnya.