PUSA: Adun Beting Maro Razaili Gapor meneruskan pemberian bantuan awal sebanyak RM300 kepada semua anak-anak di kawasan Dunnya yang hendak melanjutkan pengajian ke manamana IPT di seluruh negara.

Katanya, insentif tersebut sudah lama dilaksanakan dan diteruskan pada masa akan datang.

“Ia sebagai perbelanjaan awal untuk memudahkan urusan seperti menampung keperluan tambang, membeli barangan peribadi dan sebagainya.

“Saya ingin anak-anak tersebut berasa dihargai, selain sebagai sokongan moral agar mereka terus gigih berusaha sebaik memulakan kehidupan di IPT,” katanya.

Menurutnya, anak-anak hanya perlu menyediakan salinan surat tawaran ke IPT untuk menuntut insentif tersebut yang memberi manfaat kepada ramai penduduk di Dun Beting Maro.

Beliau turut menyediakan imbuhan istimewa untuk pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 8A dalam peperiksaan awam. Selain itu, Razaili juga menyediakan bantuan untuk setiap kematian.

“Kita berusaha sebaik mungkin meringankan beban rakyat. Sungguhpun nilainya mungkin tidak memenuhi apa yang diinginkan tetapi saya percaya manfaatnya cukup besar,” ujarnya.

Beliau mengharapkan barisan ketua-ketua masyarakat dan ketua kaum agar dapat bersama-sama membangunkan kampung lestari, komuniti bestari.