Dari sudut Maqasid al-Syariah, arak sangat berpotensi untuk merosakkan beberapa elemen yang menjadi objektif syarak untuk menjaganya.

Bukan sahaja akal yang akan rosak bahkan ia juga akan membazirkan harta, merosakkan agama dan memporak-perandakan keharmonian kekeluargaan. Bahkan ia adalah punca kepada segala kejahatan:

“Hendaklah kamu menjauhi arak, sesungguhnya arak kunci segala kejahatan.” (Hadis riwayat al-Nasaie)

Insiden kemalangan maut akibat pemandu mabuk semakin hari semakin meningkat, merupakan bukti-bukti kecil tapi nyata betapa benarnya Islam mengharamkan arak. Seorang pekerja Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) maut selepas dirempuh pemandu wanita warga China yang memandu di bawah pengaruh alkohol berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Dato’ Keramat, Georgetown pada 25 Oktober 2019, seorang pelancong warga Amerika Syarikat maut manakala isterinya cedera selepas dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk ketika pasangan itu melintas jalan di Jalan Padungan pada 22 September 2019 dan lain-lain lagi insiden.

Sudah sampai masanya pihak pemerintah lebih serius menguatkuasakan undang-undang pemanduan di dalam keadaan mabuk, bahkan membenarkan arak diminum di khalayak ramai hendaklah ditegah sama sekali kerana ia bertentangan dengan semangat Islam sebagai agama Persekutuan. Kilang-kilang pengeluar arak hendaklah difikirkan semula kewujudannya.

Jika keizinan diberikan untuk tujuan minuman secara persendirian oleh orang-orang bukan Islam maka hendaklah dikawal dan hanya dalam premis-premis tertentu seperti yang telah dilakukan di sesetengah negeri bukan Islam bahkan ada negara yang meletakkan hukuman mati kepada pemandu mabuk.

Di dalam Islam, hukuman peminum minuman yang memabukkan sama ada arak atau yang lainnya adalah dengan sebatan 40 kali dengan syarat-syarat tertentu.

Pemerintah harus menjalankan hukuman tersebut hingga 80 kali sebatan sebagai tambahan dengan hukum ta’zir. Ini berdasarkan hadith Anas:

“Nabi Muhammad SAW menyebat peminum arak dengan pelepah tamar dan selipar sebanyak 40 kali. Abu Bakar juga pernah menyebat 40 kali. Pada zaman Umar R.A, ramai orang dari pedalaman dan kampung datang ke Madinah, lalu Umar bertanya kepada para Sahabat, katanya:

“Apakah pendapat kamu mengenai hukuman sebat atas peminum arak?”

Jawab Abdul Rahman bin ‘Auf:

“Aku fikir, kamu menjalankan hukum hudud yang paling ringan.”

Abdul Rahman berkata:

“Selepas itu, Umar R.A menghukum 80 kali sebatan.”

(Riwayat Muslim)

Sesungguhnya Islam ketika mengharamkan sesuatu, sudah tentu ia mendatangkan mudarat yang lebih besar.

SS DATO’ ZAMRI HASHIM
Timbalan Mufti Perak

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”  (Surah al Maidah: 90)