KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menafikan mesej tular di media sosial mengenai kewujudan kes COVID-19 di negeri ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zin Hing menerusi kenyataan hari ini berkata mesej tersebut adalah tidak benar, dan menegaskan tiada kes disahkan COVID-19 dilaporkan di negeri setakat ini.

“Sehingga jam 12 tengah hari, 12 Februari 2020, jabatan telah menerima pelaporan sebanyak 76 kes yang disyaki (PUI) untuk COVID-19.

“Daripada jumlah tersebut, tiada kes positif dilaporkan. Sebanyak 59 kes disahkan negatif melalui ujian makmal, manakala 17 kes lagi masih menunggu keputusan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk sentiasa merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan sama ada oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kesihatan atau Ketua Pengarah Kesihatan untuk mengetahui situasi semasa kejadian wabak COVID-19 di Malaysia umumnya dan Sarawak khususnya.

Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menyebarkan berita yang tidak benar.

Semua pihak adalah diingatkan bahawa penyebaran berita palsu sedemikian boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Jika disabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan.

Bermula 11 Februari, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan COVID-19 sebagai nama rasmi bagi penyakit virus korona 2019.