KETUA Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berjanji bahawa Sarawak di bawah pimpinannya akan terus mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) sekolah Cina. Pada awal pemerintahannya pada 2017, beliau pernah berkata:

“Selagi saya Ketua Menteri Sarawak, saya akan menyokong sekolah Cina di Sarawak dan mengiktiraf UEC.” UEC pernah diiktiraf secara rasmi oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, sekali gus membolehkan pemohon layak menyertai perkhidmatan awam negeri.

Bahkan, pelajar UEC dapat meminjam dana pendidikan Yayasan Sarawak sekali gus memberi peluang kepada pelajar ini melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Pemegang UEC yang lulus peringkat SPM juga layak melanjutkan pengajian terus ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Cawangan Sarawak.

Sudah sedia maklum bahawa UEC diiktiraf universiti ternama seperti Universiti Nasional Singapura, Universiti Tsinghua di China, bahkan sesetengah universiti di AS. Bahkan Kerajaan Sarawak terus membantu sekolah Cina dengan menyediakan peruntukan RM10 juta pada tahun ini.

Permulaan 2014, Kerajaan Sarawak menghulurkan bantuan RM3 juta kepada sekolah aliran Cina sebelum dinaikkan kepada RM4 juta pada 2015 dan RM5 juta pada 2016. Jumlah bantuan tersebut meningkat kepada RM6 juta ketika Abang Johari menerajui tampuk pimpinan negeri bermula 2017.

Paling penting dalam dunia pendidikan ialah sistem keterbukaan sebegini dapat mewujudkan persaingan sihat seterusnya mampu melahirkan pelajar yang bertaraf antarabangsa.

Manakala, pada tahun kedua pentadbirannya, Abang Johari menambah peruntukan kepada RM8 juta. Pada 2019 jumlah bantuan diberi oleh Kerajaan Sarawak kepada sekolah aliran Cina terus ditambah kepada RM9 juta.

Bercakap tentang pendidikan, jelas sekali, konsep pendidikan haruslah dinamik untuk membenarkan ilmu yang diajar dapat berkembang dengan baik. Malah sekolah aliran Cina di Sarawak bukan eksklusif untuk pelajar Cina sahaja, kerana ramai ibu bapa Melayu berminat menghantar anak mereka belajar di situ.

Di Sarawak, seramai 60 hingga 80 peratus pelajar yang menuntut di sekolah aliran Cina dikenal pasti terdiri daripada Melayu, Dayak dan bumiputera lain. Hal ini bermaksud, apabila kerajaan membantu sekolah Cina, bantuan tersebut tempiasnya kepada mana-mana kaum yang menghantar anak belajar di sekolah Cina ini, termasuk anak kaum bumiputera.

Dalam perkembangan terbaharu, kerajaan mendirikan lima sekolah antarabangsa dengan yuran disubsidikan oleh Kerajaan Negeri. Sikap keterbukaan dalam sistem pendidikan ini dapat membenarkan anak rakyat biasa yang layak, memasuki sekolah berkenaan dan ia tidak lagi eksklusif kepada anak orang kaya.

Paling penting dalam dunia pendidikan ialah sistem keterbukaan sebegini dapat mewujudkan persaingan sihat seterusnya mampu melahirkan pelajar yang bertaraf antarabangsa.

Yang diharap daripada kecemerlangan sistem pendidikan ini ialah ia mampu melahirkan tenaga kerja manusia yang akhirnya bersedia mencurah bakti mereka kepada rakyat keseluruhannya.