KUCHING: Polis Sarawak akan berkerjasama dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk memotong bekalan elektrik di premis perjudian haram yang telah diserbu namun masih beroperasi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ramli Din berkata, usaha demikian adalah untuk mengekang kegiatan perjudian tersebut.

Katanya, selepas tindakan keras polis terhadap perjudian haram dua tahun lepas, pengendali perjudian haram bertindak kreatif dengan modus operandi mereka.

Jelas beliau, premis berkenaan umpama cendawan tumbuh selepas hujan dan menggunakan taktik hanya menjual air mineral serta kacang untuk membayar sewa kedai.

Malah tambahnya, premis yang diserbu didapati ada yang menjual ‘top up’ untuk kegiatan perjudian dalam talian.

Tahun lepas, pihak polis telah menyerbu 706 premis di Kuching dan 624 premis di Padawan serta seramai 1,600 orang terdiri pemilik dan penjaga premis ditangkap untuk membantu siasatan.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung pengoperasian premis yang ada menjual ‘top up’ tersebut untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.