KUCHING: Nasihat saya supaya Petronas mengikut undang-undang tempatan apabila berada di Sarawak, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada majlis menandatangani perjanjian gas domestik Sarawak antara Petronas dengan Petros di sini, semalam.

Sebelum membaca teks ucapan Ketua Menteri, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan sempat memberikan sindiran pedas terhadap Petronas dengan memetik peribahasa popular berbahasa Inggeris “when in Rome, do what the Romas do” (apabila berada di Rome, lakukan apa yang rakyat Roman lakukan).

Sindiran terbabit merujuk kepada keenggan syarikat minyak dan gas itu membayar lima peratus cukai jualan terhadap produk petroleum yang digali di Sarawak apabila kini sedang melalui proses mahkamah.

Sebagai rekod, hanya Petronas yang belum melunaskan cukai jualan minyak dan gas sejak dikuatkuasakan oleh Kerajaan Sarawak pada Januari tahun lalu.

Syarikat lain seperti Murphy, Shell dan PT Pertamina bagaimanapun akur untuk membayar cukai berkenaan.

Berikutan itu, Kerajaan Sarawak mengambil tindakan dengan menyaman Petronas pada November tahun lalu yang kini masih menjalani proses mahkamah.

Mengulas mengenai kerjasama Petronas dan Petros untuk menerokai gas domestik Sarawak, Awang Tengah berkata, kini masa untuk menarik semula para pelabur yang ‘lari’ ekoran isu melanda Petronas dengan Kerajaan Sarawak.

“Para pelabur keliru sama ada Petronas atau Kerajaan Sarawak yang perlu membuat keputusan kerana bagi mereka masa adalah wang.

“Berikutan keadaan yang tidak pasti itu menyebabkan para pelabur lari dan perjanjian seumpama ini adalah komitmen kita menarik mereka kembali,” jelasnya.

Mengimbas semula kerjasama terbabit, Awang Tengah berkata, Kerajaan Sarawak perlu merayu kepada Petronas untuk diberi lebih banyak kuota gas dengan 450 juta mmscfd.

“Petronas bersetuju untuk memberi kuota 450 juta mmscfd gas kepada kita namun itu tidak mencukupi kerana 200 juta mmscfd lagi diperlukan untuk keperluan industri.

“Oleh itu, Petros diberi tanggungjawab untuk membangunkan gas bagi industri hiliran di Sarawak di bawah Ordinan Pengagihan Gas Negeri 2016,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap agar Petronas dan Petros bekerjasama untuk menjadi pembekal gas sekali gus bersama-sama membangunkan negara. Katanya, situasi menang-menang perlu diusahakan dalam kerjasama terbabit.