SHAH ALAM: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan beliau tidak mengetahui dakwaan wujud akuan bersumpah (SD) yang bertujuan untuk menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal seperti yang dilaporkan oleh Sarawak Report.

Menurutnya, sehingga sekarang, beliau masih belum dimaklumkan mengenai kesahihan dakwaan mahu menghalangnya daripada menjadi Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Saya tidak menerima sebarang maklumat rasmi (berkaitan kesahihan dakwaan itu),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Serantau Hidup Bersama Dalam Budaya Damai 2020 di sini pada Rabu.

Pada Selasa, Sarawak Report melaporkan sumber yang boleh dipercayai berkata, terdapat individu yang telah mengumpulkan ahli Parlimen dalam usaha menafikan keputusan PRU14.

Laporan itu turut mendakwa, ahli Parlimen yang setia kepada UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah diminta untuk datang ke Kuala Lumpur bagi menandatangani akuan berkanun itu untuk menyokong penangguhan peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Anwar sehingga PRU akan datang.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, keutuhan kesatuan dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak boleh dipertikaikan biarpun ada usaha daripada pihak pembangkang yang mahu memecahbelahkan gabungan tersebut.