KABONG: Susulan daripada kejadian ban pecah di Kampung Sungai Endot di sini, beberapa penduduk yang ditemui memberitahu mereka mengalami banyak kerugian akibat kejadian tersebut.

Seorang penduduk, Awang Duka Awang Yaman, 55, melahirkan rasa ‘duka’ terhadap nasib 18 ekor ayam kesayangannya yang sudah besar-besar telah menjadi mangsa terjahan banjir kilat air masin petang semalam.

Awang Duka Awang Yaman….

“Saya sewaktu kejadian berada di pekan untuk beli barang dapur. Anak saya menelefon saya memberitahu rumah kami dimasuki air.

“Saya segera balik tapi ketika sampai, kawasan halaman rumah saya sudah ditenggelami air. Air juga sudah masuk ke dalam rumah.

“Saya dapati reban ayam saya sudah separuh tiang ditenggelami air. Ayam saya tidak dapat dipindahkan dan hanya beberepa ekor sahaja yang sempat terbang naik ke bahagian yang lebih tinggi dan selamat.Yang lain mati lemas.

“Perkakas di dalam rumah juga tidak sempat dipindahkan. Semua direndam air masin. Mesin basuh dan enjin pam air turut menerima nasib yang sama, ” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Materang Roban, 53, ketika ditemui berkata kejadian berlaku sangat pantas.

“Saya tak sempat pindahkan barang-barang di dalam rumah. Segala sofa, kerusi, peti sejuk, mesin basuh serta barangan lain semua terendam banjir air masin.

Materang Roban, 53..

“Jiran-jiran saya turut mengalami nasib sama. Ada motosikal dan kereta turut berendam air masin. Enjin pam air paling banyak jadi mangsa kerana ia diletak dibahagian rendah. Bagi yang guna pagar rumah bermotor ia turut mengalami kerosakan, “ujarnya.

Tinjauan di kawasan kampung itu sebentar tadi mendapati ramai penduduk sibuk membersihkan segala peralatan dan juga lantai rumah masing-masing.

Ketua Kampung Sungai Endot Lot, Mohammad Man ketika ditemui memberitahu pihak yang berkenaan telah dimaklumkan kejadian itu dan usaha membaiki benteng akan dilaksanakan oleh pihak yang berkenaan dalam kadar segera.