KABONG: Benteng tanah atau ban penghadang air di kawasan Kampung Sungai Endot dekat sini pecah mengakibatkan puluhan rumah penduduk di situ dimasuki air masin bermula sejak petang semalam dan juga pagi ini.

Tinjauan rambang ke kawasan terlibat awal pagi tadi menyaksikan puluhan rumah penduduk masih terendam air masin. Sehingga jam 8 pagi tadi masih ada rumah penduduk menghadapi derita ‘air termenung’ dan tidak mahu surut walaupun pada ketika berkenaan air laut sudah surut sepenuhnya.

Bajir kilat air masin itu merendam peralatan rumah termasuk kenderaan dan mesin milik penduduk yang bakal menyaksikan banyak kerugian di pihak penduduk terlibat.

Ini bukan kejadian pertama tetapi kali yang kelima !

Tanda-tanda awal benteng akan pecah telah diketahui penduduk pada sebelah pagi semalam.

Keadaan struktur tanah di permukaan ban yang mula retak dan membentuk rekahan menyebabkan penduduk mula risau dan membuat aduan kepada ketua kampung bagi memaklumkan perkara tersebut kepada pihak yang berkenaan untuk mendapat bantuan awal membaiki kerosakan yang dikesan.

Ketua Kampung Sungai Endot, Haji Ismail Bujang atau lebih popular dalam kalangan penduduk dengan panggilan Haji Aban ketika ditemui memaklumkan beliau telah mengambil tindakan segera selepas diberitahu tentang benteng rosak dengan menghubungi beberapa pihak bagi memohon bantuan.

” Saya cuba sedaya upaya cari pihak yang boleh membantu tapi usaha saya gagal. Saya sangat terkilan dan kecewa.

” Apa boleh buat, segala apa yang saya suarakan dan sampaikan kurang mendapat perhatian. Beberapa pihak saya cuba ‘call’ tapi apa yang saya dapat ada yang tak sudi angkat telefon bila saya call. Minta maaflah saya terpaksa menyebut perkara ini kerana ia kisah benar. Bukan direka-reka. Suara saya tidak akan sampai ke mana bila tidak mendapat sokongan orang atasan. Kesannya petang semalam ketika air pasang benteng mula pecah dan rumah penduduk akhirnya jadi mangsa, ” ujarnya.

Beliau yang nyata masih dalam keadaan terkilan berharap penduduk bersabar dengan ujian yang melanda dan berharap apa yang berlaku memberi pengajaran bermakna untuk semua penduduk terlibat bagi melakukan langkah berhati-hati pada masa akan datang.

Maklumat terkini tentang penduduk yang terkesan impak terjahan banjir air masin secara mendadak itu akan dikemaskini selepas ini.