KABONG: Kejadian ban pecah di Kampung Sungai Endot dekat sini mendapat perhatian pihak berwajib dan usaha membaikinya bermula kira-kira jam 2 petang tadi.

Dua buah jengkaut mula membaiki ban tersebut dengan tanah dan batu yang diangkut oleh beberapa buah lori ke kawasan itu.

Pegawai Khas Pejabat ADUN Kabong, Nur Elfy Amir dan pegawai daripada beberapa jabatan berkenaan meninjau lokasi ban pecah di Kampung Sungai Endot kira-kira jam 10 pagi tadi.

Hasil tinjauan itu keputusan segera sebulat suara diambil pihak terlibat dengan mengarahkan kontraktor tempatan melakukan kerja-kerja membaik pulih dengan segera sebelum air pasang petang ini.

 

Ketua Kampung Sungai Endot Lot, Mohammad Man yang berada dilokasi memberitahu pihak kontraktor yang diberi mandat membaiki ban itu akan cuba secepat mungkin menutup bahagian yang pecah sebelum air pasang.

” Bahagian yang pecah dan rosak agak besar jadi ia perlu kerja pantas. Kalau kerja membaiki berjaya dilakukan maka selamat rumah penduduk. Kalau kerja petang ini tidak berjaya maka penduduk masih berdepan risiko banjir air masin.

” Kita sama-sama berdoa moga kerja-kerja dipermudahkan dan dapat siap sebelum air pasang yang dijangka berlaku pasang besar kira-kira jam 6. 30 petang ini, ” ujarnya.

Kejadian ban pecah yang berlaku petang semalam mengakibatkan puluhan rumah penduduk di situ dimasuki air masin. Keadaan berlarutan ketika air pasang pagi tadi.