KUCHING: Buat julung kalinya Sarawak dipilih menjadi tuan rumah Kejohanan Dunia Xiang Qi ke-17 yang akan diadakan di Boulevard Kuching pada Ogos 2021.

Xiang Qi lebih dikenali sebagai permainan catur Cina (Chinese Chess) iaitu permainan papan yang sangat popular di China dan pengaruhnya semakin berkembang di Barat kerana persamaanya dengan catur antarabangsa.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Hamzah berkata, kerajaan negeri menerusi kementeriannya menyokong acara bertaraf dunia ini sekaligus memberi impak kepada sektor pelancongan di Sarawak.

Menurut beliau, sebanyak 35 negara akan terlibat sama dengan 300 atlet dan dijangka seramai lebih 1000 orang delegasi berada di Kuching sepanjang acara kejohanan itu nanti.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kejohanan Dunia Xiang Qi Ke-17  di pejabatnya Bangunan Baitulmakmur di sini semalam.

Kejohanan ini juga akan turut menampilkan Jee Xin Ru iaitu salah seorang pemain Xiang Qi kelahiran Sarawak yang menduduki tangga ke-4 dunia dalam permainan Xiang Qi sehingga mendapat gelaran Master of International Xiang Qi.

Tambahnya lagi, kejohanan ini adalah kerjasama di antara Persatuan Xiang Qi Kuching dan Business Events Sarawak (BESarawak) dengan sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Jelas beliau, kementeriannya akan terus bekerjasama dengan rakan strategik untuk menjadikan negeri sebagai destinasi utama sukan Asia terutama bagi generasi muda.