JAKARTA: Akhirnya polis Indonesia  memutuskan untuk menempatkan selebriti dangdut terkemuka Indonesia, Lucinta Luna  di dalam lokap wanita.

Tujuannya menurut  Pengarah Tahanan dan Bahan Bukti Polis Daerah Metro Jaya, Barnabas S Imam bagi mengelak penyanyi terbabit daripada dibuli.

Memetik kenyataan beliau yang disiarkan Tempo antara perkara diberi pertimbangan pihak berkuasa ialah keselamatan dan keselesaan Lucinta.

“Sesiapa pun tahanan yang dibawa masuk, polis wajib menjaga keselamatannya, sama ada dari segi fizikal ataupun psikologi,” katanya.

“Justeru, bagi menghindaroinya daripada dibuli dan sebagainya, maka kami lakukan itu,” katanya lagi.

Lucinta Luna ditangkap di Apartemen Thamrin City, Jakarta Pusat pada Selasa  bersama-sama tiga orang lain.

Hanya Lucinta Luna yang terbukti positif menggunakan dadah jenis Benzodiazepine manakala tiga orang lain negatif dadah ketika menjalani ujian air kencing.

Lucinta atau nama sebenarnya Muhammad Fatah dikategorikan sebagai wanita dalam kad pengenalannya meskipun  pada pasportnya jantina yang dicatatkan ialah lelaki.