Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa memutuskan nama rasmi bagi novel koronavirus, iaitu COVID-19.

Menurut Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus, nama baharu itu tidak merujuk kepada lokasi geografi tertentu, haiwan, individu mahupun mana-mana kumpulan budaya di dunia.

“Kami perlu mencari nama yang sesuai yang tiada kaitan dengan lokasi geografi, haiwan, individu atau mana-mana kumpulan budaya.” katanya pada sidang media harian berkenaan penularan koronavirus di Geneva pada Selasa.

Beliau menjelaskan, nama tersebut diberi berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO).

“Ia juga senang disebut dan ada kaitan dengan wabak ini. Dengan adanya nama rasmi adalah penting untuk mengelakkan penggunaan nama lain dan timbulnya stigma,” jelasnya.

“Ia turut memberi format standard untuk digunakan pada masa depan,” jelasnya.