KUALA LUMPUR: Pemuda MIC Kebangsaan menggesa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berhenti dari terus meresahkan rakyat dengan propaganda politiknya.

Menurut ketuanya Thinalan T Rajagopalu, apa yang jelas kerajaan Pakatan Harapan (PH) semakin hari makin goyah dengan pelbagai krisis dan skandal serta hala tuju negara juga tidak stabil dengan kepincangan pentadbiran mereka.

“Demi menyelamatkan posisi dan kuasa, Guan Eng jelas cuba menimbulkan keresahan rakyat kononnya kerjasama UMNO-PAS akan meminggirkan mereka yang bukan Islam dan akan mewujudkan politik pecah-belah yang bertentangan dengan perlembagaan negara.

“Sungguh parah imaginasi Guan Eng! Ketika menjadi sekutu di dalam pakatan pembangkang sebelum ini, DAP tiada isu terhadap PAS. Tetapi kini ia dikritik hebat, atas ketaasuban kuasa dan politik DAP,” katanya dalam satu kenyataan.

Thinalan juga amat kesal dan terkejut dengan tindakan Menteri Kewangan itu yang sekali lagi cuba menjejaskan keharmonian masyarakat Malaysia melalui kenyataan politik beliau bahawa usaha sama UMNO-PAS adalah suatu bahaya kepada yang bukan Islam.

Bahkan tambahnya, kritikan Guan Eng terhadap pentadbiran PAS di Negeri Kelantan juga bagai kuman di seberang lautan tampak, gajah bertenggek di pelupuk mata tiada tampak.

“Skandal banglo dan skandal terowong bawah laut semasa Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang masih rakyat tidak lupa.

“Kenyataan Guan Eng bahawa Malaysia akan mengharungi zaman kegelapan seperti Negeri Kelantan yang diterajui PAS jika kerajaan Pakatan Nasional menjadi realiti juga mencerminkan kebiadaban pemimpin DAP tersebut,” katanya.