KUCHING:  Tiada pilihan raya kecil untuk Pujut.

 Wujud kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Pujut selepas Mahkamah Persekutuan semalam membatalkan kelayakan  Dr Ting Tiong Choon sebagai Adunnya.

Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata tempoh penggal Dewan Undangan Negeri Sarawak sekarang akan tamat dalam tempoh dua tahun lagi.

Ini katanya, mengambil kira Jun 2021 sebagai tarikh akhir pembubaran DUN Sarawak bermula dari tarikh Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berkenaan.

Kelayakan Tiong Choon sebagai Adun Pujut batal pertama kali pada 12 Mei 2017 selepas usul dibentangkan di DUN kerana didakwa mempunyai dwikerakyatan, iaitu Malaysia dan Australia.

Menurut Asfia, Setiausaha Dewan Undangan Negeri Pele Peter Tinggom akan mengemukakan notis bertulis kepada Tiong Choon untuk memohon pembayaran balik semua elaun diterimanya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pujut sejak menang menerusi Pilihan Raya Negeri pada Mei 2016.

“Ini bukan soal politik tetapi  soal patriotisme,” tegas Asfia.

Jelas Asfia, Tiong Choon diberi peluang untuk membela dirinya namun beliau cuba untuk mengelak menjawab soalan sama ada beliau memilki kerakyatan Australia atau tidak.

Oleh itu, kata Asfia lagi, Tiong Choon selama ini tidak pernah menjadi wakil rakyat Pujut.