KUCHING: Meskipun DAP  kecewa dengan keputusan  Mahkamah Perrsekutuan, mahkamah tertinggi negara yang tidak memihak kepadanya, ia tidak menghalang parti itu daripada meneruskan perkhidmatan, terutama kepada penduduk di Pujut.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan semalam menggugurkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai Adun Pujut melalui satu kenyataan.

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa tindakan Dewan Undangan Negeri Sarawak membatalkan kedudukan Dr Ting sebagai Adun Pujut adalah betul disebabkan status dua kewarganegaraan.

“Sejak terpilih, Dr Ting telah membuktikan bahawa beliau wakil rakyat yang rajin dan berdedikasi,” katanya dalam kenyataan itu seperti dipetik media.

“Oleh itu walaupun dengan pelucutan jawatannya, pusat perkhidmatan beliau akan terus beroperasi sebagai pusat perkhidmatan DAP dan beliau akan terus berkhidmat sehingga tamat penggal,” katanya lagi.

Mahkamah Persekutuan memutuskan DUN Sarawak  mempunyai kuasa untuk membatalkan kelayakan Tiong Choon kerana beliau mempunyai dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Australia meskipun melepaskan satu daripadanya sebelum bertanding pada pilihan raya negeri yang lalu.

Pada 13 Julai, Mahkamah Rayuan memutuskan DUN melangkaui kuasanya apabila melucutkan Tiong Choon sebagai wakil rakyat kerana beliau sudah memulangkan kewarganegaraan Australia sebelum memenangi kerusi DUN Pujut pada pilihan raya negeri, Mei 2016.

Pada 12 Mei 2017, Tiong Choon dilucutkan statusnya sebagai Adun selepas  Datuk Seri Soon Koh yang ketika itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan e-Dagang Sarawak membentangkan satu usul dalam DUN.